ISLAM, TEKNOLOGI DAN TAMADDUN BARAT
Teknologi adalah perkataan yang
berasal dari barat dan membawa maksud aplikasi Sains secara praktikal atau
mekanikal terhadap industri atau kehidupan. Walaubagaimanapun teknologi atau
ciptaan alat-alat teknologi telah sekaligus dikaitkan dengan tamaddun barat
sehinggakan umat Islam telah terterap di dalam pemikiran mereka bahawa
teknologi dan permodenan bererti penerapan nilai-nilai barat berserta cara
hidupnya.
Ini dapat kita memperhatikan sendiri
bagaimana negara-negara Muslim berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf
pencapaian teknologi masing-masing seperti teknologi nuklear di Pakistan dan
cyberjaya di Malaysia dan sebagainya tanpa benar-benar memahami apakan tujuan
teknologi tersebut. Perbahasan tentang teknologi dan permodenan sering kali di
kaitkan dengan idea-idea seperti demokrasi, kebebasan hidup (freedom) dan
free-market ekonomi hinggakan kita sering mendengar ucapan-ucapan seperti
“untuk menjadi sebuah negara maju dan berteknologi, kita perlu berdemokrasi.”
Maka, teknologi dan tamaddun terutama
sekali tamaddun barat sering disatukan dan seakan-akan tidak boleh dipisahkan
lagi. Ini menimbulkan suatu kekeliruan di dalam pemikiran umat Islam tentang
soal teknologi dan Islam. Jika teknologi bererti tamaddun dan nilai-nilai barat
ataupun tamaddun barat berserta nilai-nilainyalah yang menghasilkan teknologi
maka, bolehkah umat Islam menerima dan mengambil teknologi? Ini mengakibatkan
umat Islam berpecah kepada dua kumpulan iaitu, kumpulan pertama yang
berpendapat bahawa umat Islam perlu maju dan mengikut arus perubahan maka, kita
perlu berteknologi dna sekaligus memeluk cara hidup barat berserta idea-ideanya
dan idea-idea barat tidak bertentangan dengan Islam. Kumpulan yang kedua pula
berpendapat bahawa idea-idea barat memang bertentangan dengan Islam, oleh
kerana itu segala apa yang datangnya daripada barat adalah salah dan bid’ah
termasuk teknologinya.
Jika kita mendalami persoalan ini,
kita akan melihat bahawa kedua-dua pendapat ini adalah bertentangan dengan
realiti yang sebenarnya. Ini ialah kerana teknologi dan tamaddun/ nilai-nilai
barat bukanlah dua perkara dalam satu yang tidak boleh diasingkan lagi malah,
kedua-duanya merupakan perkara yang berasingan. Teknologi merupakan ciptaan
barang-barang material dan fizikal yang tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu
tamaddun, dalam kata lain ianya adalah madaniyyah (bahan material civilization)
yang bersifat universal contohnya alat-alat dapur seperti gas cooker, microwave
ataupun alat-alat komputer, televisyen, mesin jenerator dan alat-alat perang
seperti kereta kebal, roket dan sebagainya. Semua alat-alat tersebut adalah
ciptaan fizikal yang tidak terikat kepada mana-mana tamaddun. Ini jelas sekali
kerana tiada sesiapapun yang boleh mengaku bahawa sebuah microwave adalah
terikat kepada tamaddun barat atau menjadi lambang cara hidup barat. Ini
berbeza dengan alat-alat materi seperti lambang salib yang sememangnya terikat
kepada idea Kristianiti ataupun patung-patung yang terikat kepada kebebasan
menunjuk aurat seperti patung-patung ukiran zaman renaissance.
Umat Islam perlu membezakan di antara
teknologi (madaniyyah) yang dicipta oleh ahli sains dan teknologi barat dengan
tamaddun barat itu sendiri. Ini ialah kerana tamaddun barat bukan sekadar
pencapaian teknologi dan ciptaan alat-alat materi tetapi tamaddun (hadarah)
barat bererti nilai-nilai atau idea-idea yang datangnya dari pemikiran, cara
hidup dan ideologi barat, kapitalisme. Maka, idea-idea seperti demokrasi (iaitu
manusialah yang berhak mencipta hukuman), women’s
liberation dan freedom semuanya
berasal dari tamaddun/ hadarah barat yang bertentangan dengan Islam dan
nilai-nilai Islam. Jika perbezaan ini tidak difahami oleh umat Islam, maka
ianya akan membawa kesan buruk terhadap kehidupan umat Islam malah, seluruh manusia
yang menganuti hadarah barat sebagaimana yang kita perhatikan di negara-negara
barat itu sendiri.
Teknologi perlu difahami sebagai
bahan-bahan material yang bersifat universal dan boleh dicipta dan digunakan
oleh sesiapa sahaja sama ada Islam atau kafir tetapi apa yang penting ialah
tujuan kegunaannya dan tujuan penciptaannya yang ditentukan oleh idea-idea yang
dipegang oleh sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, komputer merupakan alat
teknologi yang tidak ada baik atau buruknya dan tidak terikat kepada mana-mana
tamaddun tetapi ianya boleh digunakan untuk perkara-perkara sumbang seperti
ponorgraphy akibat daripada idea barat seperti ‘freedom’ dan keghairahan nafsu sebaliknya komputer boleh pula
digunakan untuk jalan berda’wah dan menyampaikan risalah Islam. Contoh lainnya
seperti kegunaan teknologi dalam perang, alat-alat perang boleh digunakan untuk
membunuh rakyat sesebuah negara mengikut idea-idea koloniasasi atau
nasionalisme hinggakan kita lihat bagaimana umat Islam berperang sesama sendiri
ataupun ianya boleh digunakan dalam berjihad iaitu berperang untuk menegakkan
Islam sebagaimana yang disarankan di dalam Al Qur’an di dalam surah 8:60
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala
jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang
lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh
kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya;
sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan
Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”
(An Anfal:60)
Di dalam Islam, memang tidak ada
kekeliruan tentang kedudukan teknologi atau ciptaan barang-barang material. Ini
dapat kita saksikan sendiri di zaman Rasullullah s.a.w dan khilafah Islam
setelah zaman baginda. Rasullullah s.a.w pernah mengambil teknologi perang
Persia semasa Perang Khandak di mana beliau berserta sahabah menggali parit
mengelilingi kota Medina sebagai benteng pertahanan. Kita juga melihat ciptaan
meriam pertama di zaman Khalifah Muhammad Al Fatih sewaktu penaklukan kota
Constantinople. Malah Sains dan Teknologi merupakan bidang yang amat maju di
zaman Khilafah Islam. AlQur’an banyak menyarankan supaya umat Islam bergiat
menggunakan segala ciptaan Allah s.w.t untuk kegunaan mereka di dalam kehidupan
seharian. Allah s.w.t berfirman
"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk
kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah
melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? "
Luqman:20
"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan
hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk
menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu
menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang
memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya)". Ibrahim:
32
Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan
perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian
juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?"
Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang
beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu
pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari
kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu
bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. Al- A'raaf:32
Ini sekaligus membantah pendapat
sesetengah orang yang menyangkakan bahawa Islam itu ‘kuno’ dan tamaddun Islam
serta cara hidup Islam bererti tamaddun unta. Walaubagaimanapun ianya amat
penting bagi umat Islam supaya memahami bahawa kegunaan alat-alat teknologi
tersebut adalah tertakluk kepada Syariah dan hukum Islam. Tujuan ciptaan dan
kegunaan alat-alat material mestilah berasal dan mengikut hadarah (idea-idea)
Islam dan objektif Islam. Ini ialah kerana Islam mempunyai idea-idea tersendiri
yang bertentangan dengan hadarah barat. Ini juga memberi erti bahawa ukuran sesebuah negara maju bukanlah
tertakluk kepada pencapaian teknologinya. Sebagai contoh, kita boleh katakan
bahawa Iraq merupakan sebuah negara berteknologi hinggakan mampu mencipta
‘biological weapon’ tetapi ianya bukan sebuah negara maju sama dengan
negara-negara Muslim yang lain seperti Pakistan, Malaysia dan Saudi Arabia.
Kita juga tidak boleh membuat kesimpulan bahawa disebabkan teknologi berasal
daripada negara-negara barat, maka kita perlu meniru cara hidup barat dan
ideologinya untuk menjadi sebuah negara yang berteknologi. Kita perlu
mengingati sejarah bahawa negara Khilafah Islam merupakan negara yang termaju
malah merupakan sebuah ‘superpower’
semenjak zaman Rasullullah s.a.w hinggakan zaman Khilafah Uthmaniyyah di Turki.
Oleh itu, umat Islam tidak boleh lagi memegang kepada prinsip bahawa teknologi
serta tamaddun barat adalah merupakan suatu pakatan hinggakan umat Islam perlu
meniru tamaddun barat untuk mencapai kemajuan. Tamaddun apa sekalipun sama ada
barat ataupun timur yang bertentangan dengan hadarah Islam perlu dihapuskan
dari pemikiran dan hati umat Islam. Sebaliknya kita perlu kembali kepada
hadarah Islam di dalam pemikiran, perbuatan, perasaan serta struktur masyarakat
kita.
Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan
diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang
rugi.Al- Imran:85