ISTIQAMAH DALAM BERAMAL
Istiqamah pada istilah bahasa ialah tetap atau berperaturan.
Jika dipraktikkan di dalam kehidupan kita banyak menfaatnya. Istiqamah di dalam
beramal boleh membantu kita di dalam mengawal dan membenteng iman dari gangguan
musuh iaitu syaitan dan hawa nafsu. Dari situ tidak ada peluang untuk syaitan
dan nafsu untuk menggoda kita. Bertitik tolak dari situlah iman dapat
dipertahankan. Selanjutnya amalan secara istiqamah dapat membuahkan iman dan
akhlak yang mulia. Kemantapan iman bagi mereka yang beristiqamah di dalam
amalannya akan bertapak dihati. Lama kelamaan kita akan merasakan kestabilan di
dalam diri, malah ia akan sentiasa menjangkau kepada tahap iman yang lebih
tinggi dan sempurna.
Bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w :
"Sebaik-baik amal ialah amalan yang kekal walaupun sedikit."
Amalan secara istiqamah mengajar kita agar sentiasa
merasakan nikmat beramal kerana setiap amalan yang dilakukan dengan hati dan
jiwa, ianya akan mendatangkan rasa lazat dan nikmat. Amalan secara istiqamah
walaupun dilaksanakan secara sedikit, pada tiap-tiap hari adalah lebih baik
daripada melakukan amalan secara banyak-banyak tetapi pada masa yang tertentu.
Kita boleh membuat perbandingan dan melihat sendiri kesan dalam amalan
istiqamah pada tindakan alam umpamanya setitik air yang terus menerus menitik
di atas batu, lama kelamaan ia akan melekukan batu tersebut. Akan tetapi, jika
banjir yang berlaku hanya sekali sekala, tidak akan dapat memberi bekas pada
batu tersebut.
Banyak diantara kita yang tidak tahu bahawa mengetahui
betapa besarnya fadhilat bagi sesiapa yang beristiqamah di dalam amalannya.
Amalan yang dilakukan bukan atas dasar istiqamah, kebanyakkannya lahir daripada
semangat yang hanya bersifat sementara bukan lahirnya dari hati, lebih-lebih
lagi bukan lahir dari kesedaran, keinsafan serta kehambaan kepada Allah s.w.t.
Umpamanya pada satu hari kita ke majlis kematian, maka sudah tentulah kita bila
balik ke rumah datang suatu perasaan takut akan mati, kiranya kita mati tanpa
membawa iman dan amal. Akan datang juga perasaan yang mencengkam jiwa kita
umpamanya hati kecil kita akan berkata " Hari ini sahabat aku mati,
mungkin tidak lama lagi aku akan menyusulnya dari belakang untuk bertemu dengan
Tuhan Rabbul Jalil. Apakah persiapan aku untuk bertemu Allah?. Apakah jawapan
yang akan ku jawab nanti apabila ditanya oleh malaikat Mungkar dan
Nangkir?"
Maka sehari dua sekembalinya kita dari menyaksikan sekujur
tubuh yang terbujur kaku akan sentiasa memberikan rasa keinsafan dihati,
justeru itu lahirlah pada hati kita untuk kita beramal banyak-banyak dan
sungguh-sungguh. Maka bersembahyang sunatlah kita pada sehari dua hingga
bengkak-bengkak kaki, lupa hendak makan, lupa hendak mandi, dan seolah-olah
tidak mahu berehat dari beribadah. Akan tetapi setelah beberapa hari berlalu,
peristiwa kematian akan luput dari fikiran, maka penyakit jemu dan malas pula
semakin menguasai diri. Akhirnya lama kelamaan, bukan hanya amalan sembahyang
sunat semakin jarang dilakukan tetapi sembahyang fardhu pun semakin diabaikan.
Maksiat yang ditinggalkan di dalam tempoh dua tiga hari diulangnya kembali.
Apakata andainya di waktu itu Allah mencabut nyawa kita, tidakkah kita ketika
itu termasuk ke dalam golongan orang yang malang kerana matinya kita itu di
dalam su'ul khatimah (mati di dalam keadaan derhaka kepada Allah).
Perasaan jemu akan menghantui diri kita apabila kita beramal
bukan atas dasar istiqamah. Untuk mengelakkan perasaan demikian, maka hendaklah
melakukan setiap amalan atas dasar kehambaan kepada Allah. Setiap amalan yang
hendak dilakukan perlulah benar-benar ikhlas dan kerana Allah, untuk Allah
semata-mata. Tidak kerana orang lain, kerana terikut-ikut, kerana malu dan
sebagainya. Amalan yang dilakukan hendaklah dengan suka rela, bukan kerana
dipaksa atau dipaksa.
Andaikata perasaan jemu seringkali memburu kita, ingatlah
kembali akan firman Allah di dalam hadith qudsi yang bermaksud: "Hai
hamba-hambaKu, mengapa kamu jemu beramal sedangkan Aku (Tuhanmu) tidak pernah
jemu memberi pahala untukmu."
Andainya perasaan malas sering menguasai diri kita, maka
tanamkan keyakinan pada diri bahawa setiap amalan yang dilakukan walaupun
sedikit tetapi ikhlas ada penilaiannya disisi Allah.
Untuk mendapatkan jiwa yang istiqamah di dalam beramal, kita
hendaklah seringkali berdoa, mohon pada Allah agar kita sentiasa diberi oleh
Allah bimbingan olehNya. Mintalah kepada Allah agar dikurniakan kita dengan
sekeping hati yang sentiasa ghairah untuk beribadah walau dengan keadaan
bagaimana sekalipun. Perlu juga diingatkan kepada diri bahawa kita beramal
tanpa istiqamah, maka bertitik tolak dari situlah akan membuktikan bahawa cinta
kita kepada Allah mengikut masa sedangkan Allah mengasihi hambanya sepanjang
masa. Sebagai buktinya, setiap saat dan waktu, nikmat Allah sentiasa melimpah
ruah dengan berbagai-bagai nikmat.
Begitulah Maha pemurah dan Maha Penyayangnya Allah. Oleh itu
marilah kita sama-sama berazam dan menanamkan cita-cita untuk beristiqamah di
dalam beramal. Semoga di dalam azam dan cita-cita kita itu yang dibuktikan oleh
perbuatan kita akan dinilai oleh Allah s.w.t dan dengan amalan istiqamah itulah
mudah-mudahan dapat meningkatkan darjat kita di sisi Tuhan Rabbul Jalil di
akhirat kelak.