HAKIKAT PERCINTAAN DALAM ISLAM ?
Mari kita renungkan suasana
persekitaran kita pada hari ini. Pelbagai karenah manusia dapat kita saksikan.
Atas kepelbagaian karenah ini maka timbullah juga kepelbagaian gejala yang
kurang sihat bahkan banyak yang bertentangan dengan syariat Islam.
Bermaharajalelanya pelbagai masalah ini sudah menjadi suatu aktiviti rutin
persekitaran kita. Bahkan ada segolongan menganggap perkara ini suatu yang
bersifat 'harus' dilakukan atau dengan kata lain seri persekitaran ini akan hilang tanpa
adanya perkara sedemikian. Amatlah ditakuti sekiranya pemikiran-pemikran
sebegini terus berleluasa sehingga suatu masa nanti ada yang bakal mengatakan
ianya tidak bertentangan dengan Islam. Apa yang paling menyedihkan dan menduka-citakan
lagi kebanyakkan 'pelakon-pelakon' ini terdiri dari kalangan yang mengaku diri
mereka 'muslim'.
Apa yang cuba diketengahkan dalam
tulisan ini ialah sebahagian daripada kerosakan yang terdapat dalam alam
persekitaran kita dan khususnya ruang di mana kita berada pada hari ini.
Samada suka atau tidak, apa yang dapat
kita saksikan pada hari ini, remaja sudah tergiur dek keenakkan hidangan dunia
sehingga tidak sedar ianya membahayakan. Salah satu permasalahan yang sering
kita temui dan sudah menjadi suatu 'trend'
bagi golongan remaja ialah 'percintaan'.
Telah banyak kisah yang terdengar dibalik kalimah indah ini termasuklah
keributan, keresahan, kerosakan dan kebejatan masyarakat yang timbul sehingga
kadang kala ada yang rela nyawanya melayang atau rela akidahnya tergadai hanya
kerana kalimah nan indah ini. Apa yang jelas dan pasti fenomena percintaan ini
banyak kita jumpai dalam masyarakat kita.
Persoalannya, adakah Islam mempunyai
ruang kebenaran untuk 'bercinta-cintaan' mengikut konsep muktahir yang dipegang oleh
masyarakat kita ? Mari kita kembali kepada fakta utama yang menimbulkan
permasalahan ini. Dari kajian secara dalam dan menyeluruh(al-fikrul
al-mustanir) terhadap realiti (waqi’) dapat dibuktikan bahawa pergaulan bebas
adalah benih dari segala permasalahan di atas. Bagaimana pula pergaulan bebas
ini boleh berlaku ?. Jawapan bagi soalan ini seratus peratus berpunca dari
sistem yang kita agungkan pada hari ini iaitu sistem kapitalisme. Samada kita
sedar atau tidak, kita telah lama
meninggalkan nidzamul ijtima'i secara Islami yang seharusnya menjadi landasan
kita dalam menguruskan kehidupan ini dan bukannya sistem yang tempang !
Mengapa pula terjadinya jalinan kasih-sayang terhadap insan lawan
jantina ? Kecenderungan menyukai insan yang berlawanan jantina dengan kita
adalah satu fitrah manusia yang mempunyai gharizah Al-nau' (naluri untuk
mengadakan keturunan). Islam mengakui akan hal ini oleh itu Allah, Sang
Pencipta yang berkuasa telah menggariskan beberapa peraturan untuk memenuhi
gharizah ini.
Jalinan hubungan kasih sayang dalam
konsep percintaan pada kondisi hari ini berlaku antara dua manusia lawan jenis
disebabkan oleh standard (piawai) yang mereka gunakan untuk mengukur setiap
perbuatan yang mereka lakukan bukan berdasarkan aqidah Islam dan konsep
pergaulan yang mereka gunakan bukannya berdasar dari aqidah Islam. Oleh sebab itu, bagi mereka pendidikan seks
adalah penyelesaian bagi mereka. Maka dari kajian realiti akan faktor yang mendorong kewujudan percintaan muktahir ini maka muncul
pemahaman bahwa percintaan haram hukumnya. Sebagai seorang muslim, kita
seharusnya mempunyai suatu standara
tindak laku (miqyasul a'mal) yang jelas dalam
melakukan sesuatu perbuatan yakni berdasarkan hukum syara' (Al-Quran dan
Sunnah). Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Janganlah
sekali-kali berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang perempuan atau
berpergian dengannya melainkan disertai muhrimnya" [Al-Hadith]
Sabda baginda lagi:-
"Sungguh
aku (Rasulullah) benar-benar mengetahui beberapa umatku, datang pada hari
kiamat dengan membawa kebaikan sebesar perbuktian (yang nampak putih) lalu
Allah menjadikannya berhamburan/berkecai sia-sia. Tsauban bertanya : Ya,
Rasulullah jelaskan kepada kami sifat-sifat mereka, kerana kami khuatir termasuk
seperti mereka sedang kami tiada menyedarinya. Jawab Rasulullah: Mereka adalah
saudaramu yang melakukan ibadah di malam hari, tapi apabila mereka
bersunyi-sunyi dengan yang diharamkan
oleh Allah, mereka mengganggu kehormatannya" [Al-Hadith]
Dari kedua hadith tersebut maka
sudah jelas pergaulan bebas antara lawan jenis walau apapun namanya termasuk 'adik angkat' tetap haram hukumnya. Juga
dari hadith-hadith lain kita dapat menyemak bahawa para sahabat pada ketika itu
sangat kuat keterikatannya terhadap hukum Islam, contohnya apabila disampaikan
hal seperti hadith kedua tadi para sahabat akan segera bertanya kerana mereka
khuatir mereka pernah melakukan perkara yang tidak sesuai dengan Islam tanpa
disedari dan apabila telah dijelaskan mereka segera meninggalkan atau
melaksanakan apa yang dituntut oleh Islam. Dari sinilah dapat dilihat bahawa
kayu ukur bagi tindakan mereka adalah aqidah Islam yang tulen. Tapi, masihkah
wujud keadaan demikian pada hari ini ? Adakah kita menjadikan aqidah Islam
sebagai kayu ukur bagi tiap tindakan kita atau kita akan melakukan sesuatu itu
berdasarkan manfaat yang bakal kita perolehi.
Apa yang nyata pada zaman
perkembangan teknologi ini, segolongan para remaja muslim yang seharusnya
mengikatkan diri mereka dengan aturan Islam memberikan reaksi yang sebaliknya
apabila disampaikan bahwa percintaan/pacaran haram. Mereka tidak bersetuju
dengan apa yang disampaikan kerana mereka akan kehilangan 'manfaat' atau keindahan 'cinta'
pada pandangan mereka. Kenapa ini
terjadi ? Ini disebabkan oleh kedangkalan pemikiran mereka terhadap Islam
dan menyebabkan remaja muslim terpesong
dari jalur Islam samada disedari atau tidak kerana mereka sering beranggapan
percintaan itu dibolehkan dalam Islam bahkan dianjurkan.
Telah banyak kita dengar atau
terbaca akan pengertian percintaan. Maka ada dua kemungkinan pengertian
mengenai pacaran:-
·
Perasaan
seorang lelaki ingin mencintai perempuan atau sebaliknya.
·
Dua insan
yang lawan jenis yang saling mencintai.
Perlu diingat, kita seharusnya dapat
membezakan kedua-dua pengertian di atas. Pengertian yang pertama di atas yakni
perasaan untuk mencintai insan lawan jenis adalah masalah yang mendasar yang
mempunyai kaitan erat dengan fitrah /kudrat manusia seperti yang telah
dijelaskan seawal penulisan ini. Allah telah menganugerahkan manusia naluri
untuk meneruskan keturunan (salah satunya-menyukai kaum berlawanan jenis) atau
dikenali dengan gharizah Al-Nau'. Ini merupakan salah satu naluri manusia dari
yang tiga iaitu gharizah Al-baqa' (naluri untuk meneruskan
kehidupan/mempertahankan), gharizah Al-Tadayyun (naluri untuk
menyembah/beragama) dan gharizah Al-Nau'. Jadi adanya perasaan itu sememangnya
sudah fitrah manusia dan perkara ini wajar dan tidak haram di sisi Islam.
Firman Allah:
"Dijadikan
indah pada (pandangan) manusia berupa kecintaan pada apa yang diingini, yakni
wanita…"
[Ali-Imran: 14]
Persoalan berhubung bagaimana untuk
meneruskan perasaan cinta itu adalah hak Islam(Allah) untuk mengaturnya.
Sedangkan pengertian yang kedua pula berkaitan dengan pengungkapan dan perasaan
cinta itu dengan berdua-duaan, saling berboncengan, saling berpandangan
kemudian melangkah setapak lagi dengan berpegangan tangan dan yang paling
kronis lagi berani berciuman dan sanggup menyerahkan ‘segalanya’ demi cinta mereka.
Inilah yang haram menurut Islam. Islam sebagai satu sistem
hidup/Ideologi/Mabda'/Deen yang lengkap telah mengatur pergaulan antara kaum
yang berlainan jantina. Islam memerintahkan seorang lelaki atau perempuan agar
menundukkan pandangan mereka (bukan bererti
harus memalingkan muka atau tunduk) tetapi tunduk dalam erti kata
menahan pandangan yang disertai syahwat, seperti firman Allah:
"Suruhlah
orang-orang yang beriman menundukkan
pandangannya dan memelihara kehormatannya…" [An-Nur : 31]
"Dan
suruhlah wanita-wanita mukmin menundukkan pandangannya dan memelihara
kehormatannya dan janganlah mempamerkan kecantikannya kecuali bahagian badan
yang boleh kelihatan (muka dan telapak tangan) dan supaya menutup dadanya
dengan kerudung(khimar)..."[
An Nur 31]
Dua kalimat perintah di atas
menjelaskan di samping untuk menahan
pandangan antara lelaki dan perempuan
turut diperintahkan untuk menutup aurat baik lelaki atau perempuan.
Memang tidak dinafikan sehingga hari ini masih ada golongan yang beranggapan bahawa
memakai jilbab(pakaian labuh) dan khimar(tudung) merupakan satu perkara yang
tidak moden atau ketinggalan zaman. Padahal perlu ditegaskan bahawa seorang
muslimah selamanya akan berdosa jika tidak mengenakan jilbab dan khimar yakni menutup seluruh anggota tubuh kecuali
muka dan tapak tangan. Adalah silap seandainya kita beranggapan berjilbab dan
khimar itu sudah memadai tetapi
sekiranya berpakaian ketat atau yang menampakkan lekuk tubuhnya sehingga boleh
menimbulkan syahwat bagi yang memandangnya masih dikira tidak menutup aurat.
Begitu juga seorang lelaki wajib menutup auratnya yang sebatas pusat dan lutut
dan tidak boleh dilihat oleh orang lain kecuali muhrimnya. Juga selamanya
seorang muslim akan terus berada dalam keadaan berdosa selama dia masih berada
di bawah naungan 'percintaan'. Jadi
di samping kita faham mengapa percintaan itu haram kita juga harus faham bahawa
menutup aurat itu wajip hukumnya. Lalu ada yang berdalih bahawa untuk memahami
calon suami atau isteri kita harus banyak bergaul (pacaran). Pernyataan ini dan
yang seumpamanya merupakan pernyataan yang dibuat-buat dan hanya sebagai dalih
untuk mengatakan percintaan itu dibenarkan dalam Islam. Adakah hanya dengan jalan ini sahajakah kita
dapat memahami peribadi seseorang ?
Seperti yang telah dinyatakan
sebelum ini Islam itu suatu mabda' yang lengkap. Dalam Islam ikatan antara
lelaki dan perempuan hanya ada dua iaitu pinang/tunang(khitbah) dan nikah. Jadi
persoalan untuk memahami peribadi seseorang yang kita sukai itu boleh ditanyakan
kepadanya(wanita) dengan niat yang
benar-benar kuat untuk menikahinya. Akan tetapi wanita tetap harus disertai
muhrimnya. Jadi, sekiranya alasan kerana tidak saling kenal mengenali peribadi
yang disebabkan tiadanya proses percintaan akan menimbulkan salah faham atau
seumpamanya, maka alasan tersebut merupakan alasan yang dicari-cari.
Meminang adalah cara Islam untuk
suatu pernikahan. Menikah tidak dilakukan begitu sahaja tanpa fikir panjang,
ada cara untuk mewujudkan dan meyempurnakan dengan meminang . Islam membolehkan
orang yang meminang melihat yang dipinang dengan ketentuan yang telah
ditetapkan oleh Islam. Tetapi meminang itu sendiri bukanlah bererti sudah
separuh rasmi sebagai suami-isteri atau sebagai lesen untuk melakukan
perkara-perkara yang boleh dilakukan seperti pasangan suami-isteri atau bebas diheret ke sana- sini tanpa mengenal
batas. Berhubung dengan tindakan melihat wanita yang dipinang, Rasulullah s.a.w
telah bersabda kepada salah seorang sahabatnya iaitu Mughirah ibn Syu'bah:-
"Pergilah
dan lihatlah dia (calon isteri) kerana itu pantas agar menjadi dasar atau
pedoman bagi kalian berdua" [Sunan Ibnu Majah, juz 1 hal 599]
Kesimpulannya, tidak ada ruang atau
kebenaran yang menghalalkan proses percintaan apatah lagi dengan konsep
percintaan mukhtahir ini. Sekali haram yang dikatakan dalam syara' maka
selamanya haram. Hukum Islam tidak akan berubah disebabkan oleh perubahan waktu
dan keadaan. Banyaknya perceraian bukanlah suatu hal yang boleh menghalalkan
proses percintaan itu. Ianya tetap haram. Penulisan ini diakhiri dengan suatu
pertanyaan yang memerlukan jawapan ikhlas seikhlas-ikhlasnya, sudahkah kita
sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya mengikat
diri kita dengan aturan Allah.?