HIKMAH KEGAGALAN
“Katakanlah: Maha Suci
Engkau, tiada ilmu (pengetahuan) bagi kami melainkan apa yang Engkau ajarkan
kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”[2: 32]
Teman-teman yang diingati. Semoga Allah tetap
meredhai segala apa yang kita laksanakan seharian.
Tiap apa yang berlaku adalah ketentuan dariNya. Baik
atau buruk, disukai atau tidak itu semua empunya kehendak Sang Pencipta manusia
yang Kuasa. Yang hanya mampu kita lakukan adalah berusaha dengan seupaya yang
mungkin. Dan setiap apa yang berlaku jua punyai hikmah yang tersembunyi di
baliknya samada kita tahu atau tidak itu jua termasuk dalam pengetahuanNya.
Jadi usahlah berduka dan berputus asa. Selagi mana kemampuan ada dalam diri
selagi itu kita harus berusaha untuk melakukan yang terbaik. Inilah kata-kata
pendahuluan yang boleh ana berikan setakat ini.
Saudara/iku yang dihormati,
Segala apa yang berlaku diharapkan dapat diambil
pengajaran darinya. Bicara soal kegagalan bukanlah masalah kita perseorangan
tetapi kebanyakan di antara kita. Bahkan apa yang dialami oleh umat Islam kini
jua merupakan satu bentuk kegagalan, kegagalan dalam erti kata belum dapat
menegakkan semula sistem Islam secara kaffah di muka bumi ini. Inilah realiti
yang harus diterima. Sekiranya kita gagal hari ini kita kena pastikan dengan
berusaha sedaya mungkin untuk memastikan kejayaan di masa depan. Mungkin dengan
kegagalan ini Allah ingin menguji sejauh mana kesabaran dan kesungguhan kita
dalam menghadapi kehidupan di dunia. Kegagalan bukanlah bermakna kita ini atau
kurang mampu. Mungkin kita lemah dari satu aspek dan mungkin kita lebih dalam
aspek yang lain. Jadi gunakanlah aspek yang lain ini untuk membantu aspek yang
lemah ini. Carilah perkaitan di antaranya . Moga teman-teman memahami akan
maksud ana. Masalah adalah tangga pertama bagi kejayaan dan tiada kejayaan
tanpa adanya masalah kerana kejayaan itu ialah dapat menyelesaikan masalah.
Sahabatku yang dikasihi,
Kegagalan yang mendatang ini seharusnya dijadikan
satu siri tauladan buat perjuangan yang bakal dihadapi. Muhasabahlah diri,
carilah kelemahan diri dan kesilapan yang telah kita lakukan. Koreksilah ia
semoga ianya dapat memberikan kita sedikit motivasi untuk perjuangan hari ini.
Buatlah penambahbaikkan di atas segala kelemahan yang ada. Mungkin sebelum ini
kita banyak meluangkan masa dengan benda yang kurang bermanfaat. Atau mungkin
sebelum ini kita lalai dengan bebanan luar yang diberikan sehinggakan terasa
tidak punyai waktu yang cukup. Kiranya ini masalahnya, kikiskanlah ia dari
kehidupan kita kerana jalan perjuangan ini masih terlalu jauh dan entah bilakan
sampai ke destinasinya. Ingatlah tidak
seorangpun di dunia ini sempurna. Jadi cubalah sedaya upaya untuk meghampiri
kesempurnaan. Harus disedari juga akan adanya Yang Maha Sempurna yakni Allah.
Dialah yang berkuasa di atas segalanya. Mungkin selama ini kita telah
melupakanNya dan telah gagal dalam mencari hubunganNya dalam kehidupan seharian
kita. Ya...mungkin kita leka dengan apa yang ada sehinggakan kita tak
berkesempatan untuk memohon bantuan dariNya. Pintalah bantuan dan petunjuk
dariNya kerana Dialah Yang Maha Pemurah. Moga kita diberikan kejayaan sebenar
buat siri kita dan umat Islam amnya.
Luangkanlah sedikit masa untuk bertemu denganNya di kala hati bercelaru
dek cubaan yang mendatang.
Itulah sedikit bicara yang dapat kususunkan buat
ingatan diri ini dan semoga ianya juga sedikit sebanyak memberi manfaat buat
kita. Sebarang masalah sila berhubung dengan ana. InsyaAllah sekiranya dapat
membantu. Dan sebelum mengakhir bicara ini harapnya segala kesilapan dapat
dibetulkan. Semoga usaha sedikit ini memberikan saham buat kita di sana kelak.
Dan tiadalah yang lebih pedih ana rasakan di dunia ini melainkan melihat
saudara/saudari disakiti, dihina, dianiayai, diseksa, dibunuh, dipermainkan dan
ditipu oleh musuh Islam. Nah, jesteru dari kondisi inilah tekad tertanam untuk
melihat Islam kembali semula kepersada dunia yang fana ini dan ku menginginkan
melihat saudara-saudari ku semua hidup di bawah naungan Islam secara kaffah di
mana kehidupan di saat itu penuh keharmonian, kesejahteraan dan kebahagian
serta mendapat rahmat dariNya. Dan saat itu jualah akan kita saksikan umat
Islam bersama non-muslim yang turut bernaung di bawah panji Islam mendapat
keadilan yang seharusnya. Semoga Allah membantu. Amin