Fitrah Yang Dipandu Syariat

Ada bangsa yang meletakkan wanita di tempat yang begitu tinggi sekali hingga di dewa-dewakan. Ada pula yang melatakkan wanita di tempat yang begitu rendah sekali hinggakan diperhambakan seperti haiwan dan digunakan sebagai tempat melepaskan nafsu. Akibatnya bangun segolongan wanita, dengan berani dan lantang memperjuangkan hak kebebasan untuk wanita. Menuntut kebebasan seperti lelaki hingga terlajak kerana masakan wanita boleh sama peranannya dengan lelaki.

Sebelum lelaki atau wanita meletakkan dimana sepatutnya kedudukan kaum wanita, adalah lebih baik kita mengkaji fitrah semulajadi wanita itu sendiri. Supaya kita tidak bertindak berlebih-lebiha atau bertindak kurang tepat. Misalnya fitrah manusia dimana lelaki suka kepada wanita dan wanita suka kepada lelaki. Kita tidak boleh pisahkan fitrah ini dari manusia kerana ia akan mengakibatkan porak porandanya alam. Kalau fitrah ini terus kita suburkan dengan berpandukan syariat pasti akan membawa kepada keamanan dan kesentosaan hidup.

Berbalik kepada persoalan tadi iaitu bagaimana pula untuk kita meletakkan wanita sesuai dengan fitrah semulajadinya. Wanita sifatnya suka berkasih sayang dan lembut. Sifat ini kalau dapat disalurkan pada jalan yang betul , iaitu mendidik anak dan membantu suami, ianya akan memberikan menfaat yang besar. Di bawah naungan kasih saynag , pertumbuhan fizikal dan metal anak-anak akan berkembang dengan baik, yang akan menghasilakan generasi yang sihat dan cergas.

Wanita juga bersifat suka berbelanja. Kita boleh lihat di pasaraya atau gedung membeli belah, bilangan wanitalah yang paling ramai. Sifat suka berbelanja ini kalau dipandu dengan syariat akan menjadikan wanita itu pemurah dan suka mendermakan hartanya kepada jalan Allah. Jika tidak ia akan menjadikan wanita itu pembazir dan suka menghabiskan wangnya untuk perkara yang sia-sia. Wanita juga bersifat pembela. Pantang melihat orang susah dan tertindas, wanita akan terus bangun membela yang selalunya banyak dicampuri perasaan. Sifat suka membela ini jika dipandu dengan betul mengikut syariat, ianya akan menghasilkan masyarakat yang prihatin dan bertolong bantu di dalam membangunkan kebenaran dan menolak kebatilan.

Pada wanita sangat banyak sikap berhalus-halus. Kalau sikap ini dibiarkan tanpa dididik oleh syariat, wanita akan mudah mencari kesilapan orang hingga kepada perkara yang remeh temeh dan mengakibatkan sifat suka mengumpat dan mecela. Sifat berhalus-halus ini kalau dipimpin akan membuahkan sifat suka muhasabah diri dengan menyuluh kecacatan hati atau kelemahan diri. Selain dari itu wanita sangat suka memberikan khidmat. Kerana itu wanita sanggup memikul tanggungjawab memelihara anak seperti memberi makan, menukar lampin dan memujuk anak. Sifat khidmat ini sangat kurang kepada lelaki. Kalau sifat khidmat ini dapat dihalakan kepada Syariat, maka wanita akan memberi menfaat yang baik kepada anak-anak, suami dan masyarkat.

Seperkara lagi wanita ini sikapnya suka meniru. Sebab itu kita lihat wanita lah yang paling mudah mengikuti fesyen-fesyen pakaian terbaru hari ini berbanding dengan lelaki. Jadi untuk mendidik wanita ke arah kebaikan, maka perlulah wanita itu memilih sahabat-sahabat atau kawan-kawan yang sama-sama berazam untuk menjadi hamba Allah yang baik dengan mendirikan ibadah, menutup aurat atau membuat kebajikan. Wanita yang terdedah dengan suasana ini akan mudah meniru kebaikan kawannya dan mudah membuat perubahan ke arah kebaikan kerana memang sifat fitrahnya suka meniru. Kalau dibiarkan tanpa dipimpin, wanita akan mudah meniru keadaan masyarakat yang sudah sedia rosak dengan segala macam maksiat dan mungkar.

Bila wanita dapat didik dengan betul dengan pimpinan syariat, maka kebaikannya itu akan dapat dimenfaatkan oleh seluruh umat, kerana ditangan wanitalah penentu corak generasi yang akan datang sebagaimana para hukama' berkata : "Wanita tiang negara, bila baik wanita, akan baiklah negara." Begitulah mulia dan indahnya kedudukan wanita sekiranya fitrah wanita itu disalurkan ke rah yang tepat dan bersesuaian pula dengan syariat. Betapa beruntungnya menjadi seorang wanita kerana kelembutannya akan dapat membahagiakan seluruh isi alam. Anak-anak akan menjadi generasi yang soleh, suami akan menjadi tenang dan dapat bergelanggang di tengah masyarakat dengan dibantu oleh isteri yang solehah. Sebagaimana pepatah : " Pasti ada wanita yang menjadi pendorong di belakang lelaki yang berjaya. Dan kerana itu jugalah Rasulallah s.a.w menjadikan wanita itu antara tiga perkara yang baginda sukai dan cintai selain daripada solat dan harum-haruman.

~Ehsan Dari Syukur.Com~