EIDUL ADHA

 

Sempena kedatangan eidul adha, tentu kita teringat-ingat akan sejarah abul anbiya', Ibrahim A.s. Memperingati sejarah perjuangan baginda dan pengorbanan baginda, insyaAllah, akan meningkatkan lagi semangat yang padu untuk bersama-sama mendokong harakah Islamiyyah. Saya berpesan kepada anda dan diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah SWT dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

 

Sekarang kita berada di bulan-bulan memperingati syiar tauhid yang ditegakkan oleh Nabi Ibrahim a.s yang bergelar "Abu al-Anbiya", bapa kepada seluruh para Nabi dan Rasul alaihis sollatuwassalam, manusia yang dijadikan contoh teladan oleh Allah SWT yang disebut di dalam banyak surah dan ayat al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhan-Nya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan) lalu baginda menunaikannya: Allah berfirman, Sesungguhnya Aku akan menjadikan engkau imam bagi seluruh manusia.

 

Nabi Ibrahim berkata, (dan saya pohon juga) dari keturunanku. Allah berpesan, janji-Ku tidak mengenai orang-orang yang zalim." (Surah al-Baqarah: 124). Janji Allah SWT untuk memberi kurnia menjadi pemimpin yang membawa kepada kebahagian di dunia dan akhirat menunjukkan jalan yang benar hanyalah kepada orang-orang yang adil, beriman kepada Allah, taat kepada-Nya dan menjauhi larangan-Nya walaupun kepada zuriat Nabi Ibrahim a.s..

 

Adapun orang yang zalim, kufur dan menderhaka kepada Allah SWT tidak ada kena mengena dengan janji ini walaupun mereka juga adalah keturunan dan zuriat Nabi Ibrahim a.s. Kurnia ini hanya diberikan kepada hamba-Nya yang dikehendaki di kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat petunjuk. Nabi Ibrahim a.s. menjadi contoh segala-galanya. Beliau merupakan seorang Islam yang benar, ikhlas, dan menegakkan kebenaran secara bersungguh-sungguh. Kebenaran ini disimpulkan dengan menegakkan tauhid dan menentang syirik dengan segala bentuknya. Nabi Ibrahim a.s. menjadi contoh orang yang menegakkan tauhid dan menolak syirik.

 

Mentauhidkan Allah Taala ialah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, berdoa, bertasbih dan di dalam keadaan yakin bahawa tiada Tuhan selain Allh SWT yang mencipta alam ini dan mentadbirnya. Nabi Ibrahim a.s. menentang syirik secara amalan bukan sekadar ikrar tauhid sahaja. Baginda menolak tuhan-tuhan yang disembah selain Allah Taala seperti patung dan berhala yang dipahat oleh ayahnya sendiri.

 

Baginda mengambil sikap menentang penyembahan patung dan berhala walaupun terpaksa berhadapan dengan kaum dan ayahnya sendiri dan akhirnya Nabi Ibrahim a.s. dihalau oleh ayahnya. Di dalam keadaan yang mana hendak dipilih sama ada Allah SWT atau bapanya, baginda memilih secara ikhlas Allah SWT dan meninggalkan bapanya yang menjadi lambang syirik pada masa itu. Di dalam menegakkan tauhid dan menolak syirik, Nabi Ibrahim a.s. menyatakan tiada Tuhan selain Allah dan menolak siapa sahaja yang mengaku menjadi tuhan walaupun yang mengaku menjadi tuhan ini Raja Namrud yang paling berkuasa, terkuat, dan raja kepada kerajaan paling besar pada masa itu.

 

Oleh kerana kerajaan ini menegakkan syirik, rajanya mengaku sebagai tuhan dan mengadakan tuhan-tuhan yang lain daripada Allah maka Nabi Ibrahim a.s. menentangnya kerana yakin bahawa tiada Tuhan yang sebenar disembah melainkan Allah Taala. Tiada kerajaan paling berkuasa selain kerajaan Allah dan tidak ada hukum syariat selain daripada syariat Allah SWT. Marilah kita menghisab (menghitung) diri kita adakah kita mengambil teladan daripada Nabi Ibrahim a.s. yang kita memperingatinya di dalam ibadat haji, semasa Hari Raya Haji dan di dalam solawat setiap hari. Di manakah kedudukan kita di dalam mengikut jejak langkah Nabi Ibrahim a.s. Betapa sebahagian kita pada hari ini bergelumang didalam syirik bukan kerana menyembah patung dan raja yang mengaku menjadi tuhan tetapi kerana mengambil hukum syariat yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

 

Kita mestilah mentauhidkan syariat Allah yang terkandung di dalam ajaran Islam dan menolak hukum-hukum yang direka oleh manusia yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Firman Allah Taala yang bermaksud: "Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah?." (Surah As-Syura: 21).

 

Kita hendaklah sedar bahawa segala maksiat dan kemungkaran yang berlaku adalah berpunca daripada kemungkaran yang paling besar iaitu syirik menyekutukan Allah SWT dengan mengambil syariat (peraturan hidup) yang lain daripada syariat Allah SWT yang menjadi benih-benih kemungkaran yang lain. Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Allah pelindung orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya iman. Dan orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah syaitan yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah ahli neraka yang mereka kekal di dalamnya."(Surah Al-Baqarah: 257).