PENDIDIKAN ANAK-ANAK:
Kedudukan anak-anak dalam Islam
Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah SWT
kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa
mengharapkan kurniaan ini. Fitrah ini wujud di kalangan muslim mahupun bukan
muslim. Bagaimanapun ibu bapa muslim sangat dituntut untuk mengetahui dan
memahami nilai kurniaan Allah SWT ini. Ketidakfahaman dalam perkara ini
menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan peranan dan tanggung-jawab
mereka, malah mungkin tidak menunaikan hak anak-anak seperti memberi kasih
sayang dan perhatian yang sewajarnya.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Asy-Syura, ayat 49-50
yang bermaksud:
Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki
dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia
menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki.
Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.
Oleh itu kita wajib menyambutnya dengan penuh kesyukuran
kerana nikmat Allah SWT ini boleh menghiasi rumah tangga dan menenteramkannya.
“Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah
kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)”.
(Surah al Furqan: 74)
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:
“Ya
Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau”. (Surah Ali Imran: 38)
“Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi
sebahagian keluarga Yakub”. (Surah Maryam : 5-6)
Kedua-dua ayat di atas merakamkan doa Nabi Zakaria yang
berhajat kepada anak untuk meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya.
Menurut Akhlaq Hussain, Anak-anak yang saleh menjadi sumber
sedekah jariah bagi ibu bapa.... Inipun sekiranya anak-anak tersebut dididik
dengan sempurna sehingga menjadi mukmin yang sebenar kerana hanya
anak-anak sebegini membolehkan ibu bapa memperolehi sedekah jariah yang
dikatakannya.
Apakah hak-hak anak ke atas bapa dan ibunya?
Rasulullah SAW telah bersabda di dalam beebrapa hadith sahih
yang maksudnya:
“Hak
anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis,
mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Quran” (Riwayat Al-Hakin dan Ad-Dailami)
“Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang
ayah kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik.” (H.R. Tirmidzi)
Selain itu anak-anak juga berhak untuk mendapat perhatian
dan memperolehi kasih sayang ibu bapanya. Akhlaq Hussain menulis, Seandainya
ibu bapa tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih sayang bagaimanakah
mereka mengharapkan anak mereka berkelakuan baik kepada mereka?
Salah satu peranan terpenting di dalam kehidupan ibu
dan bapa adalah menjaga amanah Allah SWT dengan sebaiknya.
Anak-anak adalah antara amanah yang utama.
Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: (.......dan
setiap suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta
pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah dan
anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawabannya.)
Oleh itu mendidik anak-anak menjadi soleh adalah satu
tanggungjawab diniyah. Kegagalan mendididk mereka akan membawa akibat yang
berat di akhirat. Allah SWT telah memperingatkan perkara ini di dalam Surah
at-Tahrim, ayat 6 yang bermaksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan
anggota keluarga kamu daripada api neraka
Tamaiyuz (perbezaan) di dalam matlamat dan perjalanan hidup
pendakwah
Salah satu perkara penting yang perlu difahami dan disedari
ialah terdapat perbezaan yang ketara (tamaiyuz) di antara pendakwah dan
anggota harakah Islam dengan anggota masyarakat yang lain. Perbezaan ini adalah
dari segi matlamat dan perjalanan hidup kita. Kita menyedari bahawa Allah telah
memerintahkan kita supaya menjadikan diri sebagai manusia Rabbani.
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 79
yang bermaksudnya:
...Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia rabbani
Rabbani bermaksud kita memiliki ciri-ciri Rabbaniyah yang
dikehendaki Allah SWT, sama ada di dalam diri atau dalam perjalanan hidup kita.
Oleh itu kita mestilah bersifat Rabbani dari sudut ghoyah(matlamat) dan
wijhah(haluan) mahupun masdar(sumber) dan manhaj(sistem). Dengan itu sudah
pasti kita berbeza besar daripada masyarakat, dari sudut matlamat pendidikan
anak-anak dan juga method(kaedah) mendidik mereka.
Seorang sarjana pendidikan, Dr. Abdul Rahman Salih telah
menulis: .....setiap masyarakat mempunyai matlamat-matlamat tertinggi
(idealisma) di dalam kehidupan mereka, dan masyarakat itu akan berusaha untuk
menghantar anak-anak masyarakatnya kepada matlamat-matlamat tersebut. Setiap
masyarakat juga mempunyai jalan-jalan atau metod-metod pendidikan untuk
menyampaikan masyarakat tersebut kepada matlamat-matlamat mereka. Oleh itu
apabila satu-satu masyarakat mengikuti atau meniru jalan-jalan dan metod-metod
pendidikan satu masyarakat yang lain, mereka dengan sendiri telah mengambil
idealisma atau hajat tertinggi masyarakat yang diikuti atau yang ditiru. Oleh
demikian dalam melaksanakan tuntutan mendidik anak-anak, kita mestilah
berwaspada supaya tidak tergelincir daripada landasan pendidikan yang
disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diterjemahkan di dalam kehidupan
Rasulullah SAW.
Sepertimana yang dijelaskan, kita mempunyai ghoyah (matlamat
tertinggi) dan hadaf (matlamat dekat) yang lebih tinggi dan lebih mulia. Ini
melahirkan tamaiyuz dengan masyarakat. Kita adalah anggota harakah Islam yang
mempunyai matlamat hidup membangunkan sistem Allah. Kita menjadikan
tujuan hidup kita untuk menegakkan syariat Allah. Natijah daripada kesedaran
ini adalah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah. Dengan semua
aktiviti hidup kita adalah untuk mencapai matlamat yang suci ini. Oleh itu
pembinaan diri kita sebagai mukmin(fardi muslim) yang ikhlas berjihad dan
pembangunan baitul muslim (keluarga muslim) adalah untuk matlamat tersebut.
Kelahiran serta pendidikan anak-anak kita adalah untuk matlamat ini.
Anak-anak adalah generasi pewaris dakwah
Di samping mendidik anak-anak menjadi anak yang saleh,
mereka perlu diproses dengan rapi agar bersedia memikul dan melaksanakan
tanggung-jawab dakwah dan jihad. Anak-anak kita adalah pewaris perjuangan yang
sedang kita laksanakan hari ini. Mereka akan dipertanggungjawabkan untuk
meneruskan perjuangan suci dengan lebih berkesan kerana kesedaran yang telah
ada di dalam hati kita. Di atas hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi
Zakaria di dalam Surah Maryam, ayat 5 yang maksudnya:
Anugerahkanlah aku seorang putera, yang akan mewarisi
sebahagian keluarga Yakub.
Oleh itu kita perlu bertanya kepada diri kita secara
serius, adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab mendidik anak-anak
kita? Kita perlu melihat anak-anak kita sebagai madu (orang yang diseru) yang
perlu dibentuk melalui satu proses tarbiyah, iaitu proses penyucian diri,
pembentukan kefahaman, kesedaran dan pembinaan syakhsiyah.
Pendidikan bagaimana yang dituntut untuk dilaksanakan?
Di dalam al-Quran Surah al-Ahzab, ayat 36 Allah SWT telah
berfirman yang maksudnya:
Tidaklah patut bagi setiap mukminin dan mukminat apabila
Allah dan Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain
tentang urusan mereka.
Oleh itu kita dituntut untuk mendidik anak-anak melalui
proses tarbiyah Islamiyah sama ada dari segi manhaj, ghoyah, hadaf serta
natijahnya. Tarbiyah Islamiyah mempunyai manhajnya yang tersendiri dan
teristimewa kerana manhaj ini datang daripada Allah SWT, Allah yang
berteraskan tauhid. Seluruh kehidupan untuk berubudiyah kepada Allah SWT
semata-mata.
Satu lagi yang dituntut ke atas diri kita adalah ibu bapa
sendiri; perlu melalui pendidikan ini terlebih dahulu dengan keikhlasan, kesungguhan
serta penyerahan supaya kita terlebih dahulu menjadi manusia Rabbani. Ini
kerana salah satu prasyarat keberkesanan tarbiyah adalah contoh teladan.
Dipetik daripada Majalah