MENDIDIK ANAK:

Pendidik Bukan Sekadar Memberi Ilmu Sahaja

Islam telah memerintahkan Ibu bapa bertanggungjawab membimbing dan mendidik anak-anaknya ke jalan yang diredhai Allah. Secara tidak langsung para ibu bapa membimbing dan memperhatikan anak-anak mereka supaya tidak kehilangan jejak dan tersesat dalam keragu-raguan dan kecurigaan. Pendidikan adalah wajib bagi setiap umat Islam samada lelaki mahupun wanita. Masyarakat yang terdiri daripada orang-orang berilmu dan berpendidikan adalah yang terbaik dianrata yang lain. Tetapi kenapakah masyarakat hari ini kucar kacir walaupun ramai golongan intelek dan berilmu pengetahuan ?. Perlulah diketahui bahawa pendidik yang ada pada hari ini, banyak melahirkan generasi yang tidak bermoral dan rosak akhlaknya. Rata-rata pendidikan sekular tidak dapat membentuk seseorang agar menjadi seorang yang berguna ditengah masyarakat dan bertaqwa kepada tuhannya. Malah mereka dicanangkan untuk mendapatkan jawatan yang tinggi dan gaji yang lumayan setelah tamat pelajaran.

Dalam kebangkitan Islam yang melanda seluruh dunia kini, ramai ibu bapa yang mula sedar akan pentingnya pendidikan Islam. Mereka mahukan anak-anak mereka dididik secara Islam sejak dari kecil lagi. Mulalah mereka menghantar anak-anak memasuki tadika Islam untuk dilatih dan dididik secara Islam. Ini kerana sebahagian besar daripada ibu bapa itu lemah pengetahuan dan amalan Islam dan tidak mampu mendidik anak-anak sendiri secara yang dikehendaki oleh ajaran Islam. Sekiranya diri mereka jahil dengan ilmu Islam dan corak hidup secara Islam, namun anak-anak janganlah dibiarkan jahil dan sesat juga. Kasihan pada anak-anak yang masih putih bersih itu terpaksa dicorakkan dengan satu sistem yang kotor dan tidak bermakna.

Di dalam hal ini, tidak syak lagi bahawa guru-guru mempunyai peranan yang besar di dalam membentuk peribadi kanak-kanak. Mereka merupakan sumber ilmu pengetahuan, contoh ikutan dan punca kanak-kanak mengetahui betul atau salah dan baik buruknya sesuatu perkara. Berapa ramai kanak-kanak yang berjaya membentuk peribadinya dengan pengaruh guru. Disamping itu juga, berapa ramai kanak-kanak yang benci kepada guru dan ilmu yang tertentu yang disebabkan guru. Pengaruh guru dan pendidik itu bukan hanya dapat dilihat di alam lapangan ilmu pengetahuan muridnya, tetapi juga dapat dilihat di dalam tingkah laku dan peribadi mereka yang dicontohi dan ditiru daripadanya. Tugas guru bukan sahaja mengajar ilmu pengetahuan, malah membentuk peribadi kanak-kanak supaya menjadi manusia yang berjiwa bersih dan berguna di dunia dan di akhirat kelak.

Tugas mendidik kanak-kanak, sukar untuk dilaksanakan oleh seorang yang berjiwa keras dan kasar, tetapi perlu jiwa yang halus dan lembut. Kebiasaannya mendidik anak-anak lebih berkesan dilakukan oleh kaum wanita, terutamanya diperingkat tadika. Guru yang lemah lembut, penyayang, berdisiplin dapat mencorak bukan sahaja peribadi kanak-kanak, malah peribadi ibubapa kanak-kanak tersebut. Ibubapa yang jahil apabila anak-anaknya berakhlak akan membuatkan hati mereka tertarik dengan didikan yang diberikan oleh guru tersebut. Lantas mereka secara tidak langsung akan terpengaruh dengan didikan dan tarbiyah secara tidak langsung dari anak-anaknya. Mereka menyedari hanya Islam saja yang dapat membentuk hidup bahagia dan sempurna. Anak-anak dapat dilatih dan dididik agar berakhlak serta patuh kepada orang tua.

Misalnya seorang kanak-kanak yang telah dilatih di Tadika Islam, di sana mereka diajar sembahyang , puasa, tutup aurat dan sebagainya. Apabila pulang ke rumah di dapati ibu bapanya tidak sembahyang, lalu ditanya kepada ibu bapanya mengapa tidak sembahyang, sedangkan sembahyang itu wajib. Maka dengan sendirinya ibubapa akan sedar akan kejahilan meraka selama ini. Sedangkan anak mereka bersungguh-sungguh melaksanakan sembahyang lima waktu sehari semalam. Meraka akan rasa terpukul kerana jika seorang budak boleh metaati perintah Allah, kenapa pula mereka selaku orang tua tidak sanggup melaksanakannya.

Di dalam masyarakat kita pada hari ini, ramai pendidik yang tidak berjaya dalam mendidik anak-anak muridnya kerana tugas mendidik itu tidak dijiwai dan dihayati sungguh-sungguh kerana Allah. Mereka hanya memikirkan soal gaji semata-mata kerana sudah tidak ada kerja lain yang hendak dilakukan selain daripada mengajar. Sebab itulah orang yang terdahulu amat mengambil berat tentang sikap dan peribadi guru yang mengajar dan mendidik anak-anak mereka. Pernah utbah bin Abi Sufyan berkata kepada guru anaknya: "Jadikanlah perbaikan ke atas anakku perbaikan keatasmu juga. Kerana mata mereka akan berpusat kematamu, dan bagaimana naiknya pandangan mereka akan menjadi kebaikan yang kamu lihat. Dan kejelekan yang akan mereka lihat adalah kejelekan yang kamu lihat juga."

Disiplin perlu ditekankan semasa mendidik kanak-kanak supaya mereka mempunyai tatacara dan kelakuan yang baik dan hal itu perlulah diberikan penekanan sejak dari kecilnya lagi. Para hukama berkata: "Pendidikan anak pada peringkat kecilnya adalah seperti lorekan pada batu." Di dalam hal ini para ibu bapa harus menelti sekolah mana yang harus diserahkan anak-anak untuk dididik jiwanya. Seorang guru yang berilmu dan berjiwa Islam dan bertakwa akan dapat membentuk anak-anak kita ke jalan yang benar dan menjadi orang yang berguna di dunia dan akhirat. Insya Allah.