SUARA WANITA: Aurat atau Bukan ?
Perbahasan mengenai kedudukan suara
wanita telah banyak dibahaskan. Pelbagai pendapat berhubung permasalahan ini
telah dikemukan samada yang disandarkan kepada nash syarak atau secara aqliyah
semata. Tidak dinafikan wujudnya percanggahan pendapat dalam perkara ini. Pada
kesempatan kali ini, sekali lagi kita akan turut membahaskan perkara ini. Apa
yang bakal kami tampilkan di sini merupakan prinsip yang dipegang oleh penulis
setelah mengkaji secara dalam dan menyeluruh (al-fikrul al-mustanir)
berdasarkan nash-nash yang ada. Sekiranya para pembaca menginginkan penjelasan
lanjut, anda dialu-alukan berhubung terus dengan sidang redaksi.
Adakah
boleh mendengar nyanyian dari seorang wanita ? Apakah kedudukannya dan
bagaimanakah seharusnya sikap dan pendirian kita ? Mungkin persoalan sedemikian rupa
sering berlegar di benak pemikiran kita. Ada yang mengatakan bahawa yang boleh
didengar adalah nyanyian dari lelaki, sedangkan nyanyian seorang wanita adalah
haram untuk didengar. Alasannya, suara wanita itu aurat (hal yang tidak boleh
ditampilkan). Jawapannya wallahu ‘alam.
Walaupun nyanyian yang memalukan itu
haram dikerjakan bila disertai dengan perbuatan haram atau mungkar namun mendengarkannya tidaklah haram.
Keharamannya itu terbatas pada mendengarkannya secara langsung dari penyanyinya
ditempat maksiat (contohnya konsert secara langsung), bukan kerana suara
penyanyi wanita itu aurat. Keharaman itu terletak pada sikap berdiam diri
terhadap nyanyian yang berisi kata-kata mungkar dan sipenyanyi wanita tersebut
menampilkan kecantikkannya untuk ditonjolkan dengan membuka auratnya, misalnya
rambut, leher, dada, betis, paha dan bahagian aurat lainnya. Inilah yang
diharamkan oleh syara’, bukan kerana masalah mendengarkan nyanyian wanita itu.
Suara wanita bukan aurat kerana jika
disebut demikian, mengapa
Rasulullah SAW mengizinkan dua budak wanita menyanyi di rumahnya ?
Selain itu, baginda SAW juga tidak keberatan berbicara dengan kaum wanita,
sebagaimana yang terjadi ketika menerima bai’at dari kaum ibu sebelum dan
sesudah hijrah. Bahkan beliau pernah mendengar nyanyian seorang wanita yang
bernazar untuk memukul rebana dan menyanyi di hadapan Rasulullah SAW. Semua
keterangan tersebut dan keterangan serupa lainnya menunjukkan bahawa suara wanita
bukan aurat.
Selain itu, syara’ telah memberikan hak dan
kekuasaan/kebenaran kepada kaum wanita
untuk melakukan aktiviti jual-beli,
berdagang, menyampaikan ceramah atau mengajar, mengaji Al Quran di rumah
sendiri, membaca qasidah atau syair dan sebagainya. Jika suara mereka itu
dianggap aurat atau haram diperdengarkan maka tentu syara’ akan mencegah mereka
melakukan semua aktiviti tersebut. Inilah hujjah yang kuat. Memang diakui,
syara’ melarang wanita menampilkan perhiasannya di hadapan kaum lelaki yang
bukan mahramnya, melenggak-lenggok atau manja dalam berbicara sebagaimana yang
telah diterangkan oleh Allah dalam firmanNya yang mafhumnya:
“...dan janganlah menampakkan
perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka
atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara
lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera
saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka
miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap
wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita...”[An Nur: 31]
Syara’ tidak melarang wanita
berbicara dengan lelaki dengan syarat ia tidak menampilkan kecantikkan atau
perhiasannya kepada masyarakat umum di samping ketentuan lain yang telah
ditetapkan oleh syara’. Oleh kerana itu, mendengar suara wanita tidaklah haram
sebab ianya bukan aurat. Tidak ada larangan wanita untuk berbicara dengan kaum
lelaki kecuali dengan
suara manja, merayu, mendayu atau keluhan yang dapat menimbulkan keinginan kaum lelaki untuk berbuat jahat,
serong dan perbuatan dosa besar yang lainnya terhadap wanita tersebut.
Hal ini telah ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya yang mafhumnya:
“...maka, janganlah kamu tunduk
ketika berbicara (dengan manja, merayu, dan sebagainya).(sebab), nanti akan
timbul keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (keinginan nafsu
berahinya). Dan ucapkanlah perkataan yang baik (sopan santun).” [Al Ahzab:32]
Apabila wanita sudah melanggar
perintah tersebut maka tidak hanya dirinya yang terlibat dalam perbuatan dosa
atau haram, tetapi setiap orang yang membiarkan hal tersebut kerana mereka
tidak menyeru kepada yang ma’ruf terhadap wanita itu dan tidak pula mencegahnya
melakukan yang mungkar.
Rasulullah SAW bersabda mengenai hal
ini:
“Siapa saja di antara kalian yang
melihat adanya kemungkaran maka hendaklah ia ubah dengan tangannya. Jika ia
tidak mampu melakukannya, maka hendaklah dengan lisannya. Kalau inipun tidak
mapu dilakukannya, maka hendaklah dengan menolaknya dii dalam hatinya. Tetapi
itulah iman yang selemah-lemahnya.” [HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, An
Nasa’i dan Ibn Majah]
Jadi, itulah sedikit penjelasan
ringkas yang dapat kami berikan berhubung perkara ini. Sebarang komentar
bolehlah dipanjangkan kepada kami. InsyaAllah kami sedia menerima sebarang
komentar anda. Wallahu ‘alam.