Make your own free website on Tripod.com

Rebutlah Pangkat Solehah

Allah s.w.t itu Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambaNya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaga sembahyang fardhu, puasa di bulan Ramadhan, ketaatannya kepada suami dan menjaga kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa. Begitulah penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita.

Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh mana kita telah meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu, kebanyakannya tidak khusyuk. Semasa sembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah kadang kala suami dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali ( disuruh membuat itu dan ini ).

Sepatutnya kita kena banyak menagisi diri kita kerana gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulallah s.a.w selepas di Isra' Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t supaya kita ini umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan lebih 75 % penghuni di dalam neraka itu terdiri daripada kaum wanita. Badan-badan disambar oleh api neraka, ada yang rentung dan ada yang melecur kemudian dijadikan baik selepas menerima azab dan dibakar lagi. Begitulah seterusnya mengikut kesalahan dan dosa yang dilakukan. Diwaktu itu beruntunglah wnita yang beramal soleh diiringi oleh "wildan-wildan"nya ( pelayan lelaki ) serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.

Untuk menjadi wanita yang solehah, perlulah mempelajari ilmu agama secukupnya dan mengamalkan ilmu tersebut sehingga dapat mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangannya. Banyak menangis kerana takutkan azab Allah. Berkorban apa sahaja demi agama Allah. Tahan menerima ujian dan rintangan dari Allah demi untuk mendapat keredhoaan dan rahmat Allah s.w.t. Rebutlah pangkat Solehah ini di dunia, kerana ianya tidak dapat dijual belikan dengan dunia dan seisinya berserta segala kemewahannya.

Seorang isteri yang solehah akan melayan dan menjaga suaminya dengan begitu baik sekali kerana itu adalah tuntutan agama ke atasnya demi mendapatkan keredhoaan Allah. Telah tersebut di dalam kitab Muhimmah, bahawa para ulama telah mengingatkan kepada para isteri : Sesungguhnya antara dosa yang teramat besar derhaka isteri kepada suami ialah menegah akan suami untuk mengambil kesukaan yang ada pada dirinya sama ada untuk diwati (dijimak) yakni untuk memuaskan nafsunya dengan jalan yang halal (sah) di dalam Islam atau lainnya seperti melarang isteri itu ke atas suaminya menjamah dan menyentuh pada sebarang tempat anggota badannya. Firman Allah di dalam Al Quran :

" Dihalalkan bagimu pada malam puasa bercampur dengan isteri kamu, mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampunkan kamu dan memberikan keringanan kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan dan minumlah sehingga terang benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga malam (tetapi) janganlah kamu mencampuri mereka itu sedang kamu beriktikaf dalam masjid-masjid. Itul;ah larangan-larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia supaya mereka bertaqwa." ( Al Baqarah : 187 )

Dan firman Allah lagi di dalam surah Al Baqarah, ayat 223 :

" Isteri-isteri adalah seperti tanah tempat bercucuk tanam,maka datanglah (tanah) tempat bercucuk tanam sebagaimana sahaja yang kamu kehendaki, kerjakanlah (amal-amal) yang baik untuk dirimu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah kamu kelak akan menemuiNya. Dan berikanlah khabar gembira bagi orang-orang yang beriman."

Demikianlah perumpamaan yang telah diberikan oleh Allah s.w.t terhadap para isteri. Suami diberi amanah untuk membimbing isteri ke arah kebaikan dan kebenaran. Bagi isteri pula, mereka hendaklah taat terhadap suami dan merasakan suamilah segala-galanya bagi diri mereka sebagaimana kiasan " mereka (isteri) adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka."

Isteri hendaklah ingat dan sentiasa takut untuk keluar rumah tanpa izin suami. Kerana sesungguhnya laknat Allah amat besar bagi seorang isteri yang keluar rumah tanpa izin suami. Tetapi perlu diingat bagi para suami adalah haram mencegah isteri untuk keluar belajar ilmu Fardhu Ain dan segala ilmu yang wajib dituntut sekiranya suaminya itu tidak berkemampuan untuk mengajar. Sekiranya dia mampu mengajar, maka wajib dia mengajar isterinya akan segala ilmu Fardhu Ain dan isteri tidak boleh ingkar dan enggan untuk belajar.

Jikalau suami mengajak isteri untuk berpindah dari rumah ibu dan ayah, janganlah si isteri enggan kerana isteri bukan lagi hak ibu dan ayah, tetapi hak suami. Isteri wjib mengikuti suaminya kemana sahaja suaminya pergi. Jikalau terdapat halangan untuk mengikuti suami, sedangkan suami redho, maka tidak mengapa tidak mengikut suami pergi atau berpindah ke mana-mana.

Begitu juga layanan isteri kepada suami ketika suami balik dari kerja, mestilah yang menggembirakan hati suami dengan menyediakan minuman dan melemparkan kepadanya senyuman yang manis. Sesungguhnya separuh daripada keletihan itu akan hilang dengan melihat isteri tersenyum manis kepadanya. Ingatlah kehidupan rumahtangga adalah satu kehidupan yang saling memerlukan diantara satu sama lain. Kerana itu janganlah malu untu memberikan kasih sayang kerana kita juga ingin disayangi dan memerlukan kasih sayang.

Para isteri diingatkan jangan meminta talak. Sesungguhnya inilah dosa yang amat besar di sisi Allah bagi para isteri. Hati suami akan terluka disebabkan perkataan isteri. Dari itu berhati-hatilah semasa mengeluarkan perkataan ketika sedang marah. Hendaklah difikirkan dahulu apa yang hendak diperkata. Kerana perkataan yang kasar terhadap suami itu boleh menyebabkan kita dimurkai oleh Allah s.w.t.

Juga sekali-kali jangan bermasam muka dengan suami. Kejernihan muka dan keceriaan isteri itu adalah penenang fikiran dan jiwa bagi suami dari suasana luar rumah yang penuh maksiat dan durjana. Diri para isterilah tempat tatapannya dan tempat menumpah kasih. Pulangnya suami bila isteri mengulum senyum di pintu, akan menghilangkan segala kepenatan dan keletihan sepanjang hari. Oleh itu senyumlah selalu, nanti suami akan kasih. Allah akan redho.

Untuk mencapai maqam taqwa dan isteri yang solehah bukanlah semudah diucapkan dengan lidah. Kita mestilah mengikis sebanyak mungkin mazmumah di dalam hati dan selalu mengharapkan dan berusaha agar Allah pelihara dan masukkan sifat-sifat mahmudah ke dalam jiwa agar dengan itu mudah untuk kita beribadah kepada Allah. Rindu dan kasih kepada Allah. Dan apabila kita rindu dan kasih kepada Allah, maka Allah juga akan kasih kepada kita. Rasul akan memberi syafaat kepada kita. Banyakkan bersalawat kepada baginda Rasulallah s.a.w kerana dengan salawat wajah kita akan menjadi bercahaya di Padang Makhsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulallah untuk menuju kepada syurga.

~Ehsan daripada Syukur.Com~