SITI HAJAR:
Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir
yang kering kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti
Hajar. Walaupun perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada
mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti
Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.
Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus
bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada
hikmah di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah
mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah
padang pasir. Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di
sebatang pokok tamar.
Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari
tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah
cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan
tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.
Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi
Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan
suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil
merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu
di sini?" Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi Ibrahim
a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. ""Oh... kiranya kerana dosaku
menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup
ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini." ""Tidak
wahai isteriku, bukan kerana dosamu..." ""Kalau bukan kerana
dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah
engkau meninggalkannya?" Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu
dan pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu. "Tidak, bukan itu maksudku.
Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah SWT."
Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu
lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi
sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan
sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya upaya
menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih
tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu? Sewaktu
gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan
penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu
nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang
berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT.
Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan
ALlah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati
yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya : "Jika
benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di sini. Aku redha
ditinggalkan" suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya yang
berlinangan. Ditabahkan hatinya dengan berkata : "Tentang keselamatan
kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami.
Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."
Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya,
minta redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama.
"Cuma...," katanya lagi, "doakanlah agar datang pembelaan Allah
SWT kepada kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya
Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa
:
"Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”
Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri
yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di
padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya.
Namun atas keyakinan yang padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah
Allah SWT walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa,
tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan
tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT.
Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di
dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan
syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku. Tidak
lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan makanan dan minuman pun habis.
Air susunya juga telah kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis
kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah
padang pasir yang kering kontang itu?
Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh
seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang
dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa. Dari
tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan
memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh
malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia telah
berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk
mencari sumber air.
Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari
mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan
anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya
ke bumi.
Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar
mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya
Ismail a.s. Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun
mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.."
yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air
itu, "Berkumpullah untuk anakku."
Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan
berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah
(Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT.
Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah
menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan.
Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang paling dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.