MUS’AB BIN UMAIR:
Pemuda Dakwah
Musab bin Umair adalah sahabat Rasulullah yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam lagi Musab terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Musab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.
Musab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding
adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh
itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu
Musab telah menganut Islam.
Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Musab selama
beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam.
Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan
dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu
membebaskannya buat sementara.
Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut
pada Musab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana
kasih pada ibunya. Musab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya
hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.
Pada suatu hari Musab melihat ibunya dalam keadaan pucat
lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan
berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Musab meninggalkan
Islamnya.
Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Musab
ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah
jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada
jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Musab kepada ibunya:
Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu
demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.
Apa lagi lemahlah siibu mendengar jawapan sianak. Dengan
jawapan tersebut juga, Musab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Musab
bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.
Untuk meneruskan kehidupannya, Musab berusaha sendiri
bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini
kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah
dicemari oleh sikap Musab. Adik-beradik Musab juga sering menemui dan
memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Musab tetap mempertahankan
keimanannya.
Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim
menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah
ke Habysah. Musab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari
Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian
compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah.
Kata-kata Rasulullah mengenai Musab sering disebut-sebut oleh sahabat:
Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan
penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Musab seorang pemuda yang hidup
mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan
itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.
Apabila ibu Musab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia
memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Musab yang
bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Musab tetap dengan pendiriannya.
Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi
dia merahsiakannya.
Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Musab ditugaskan memegang panji-panji
Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera
Muslimin. Tetapi Musab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru:
Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.
Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah
menyerbu ke arah Musab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji
Islam. Musab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya
sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah
marah dan menetak tangan kirinya pula. Musab terus menyambut dan memeluk
panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah
menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Musab sebagai syuhada' Uhud.
Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah
berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah
berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Musab. Abu Rum tidak dapat
lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi
sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi
untuk menutup mayat Musab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat
menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya. Keadaannya digambarkan dengan
kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya
terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu
digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun
kayu.
Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam
mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda
dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya
hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk
menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan
oleh Rasulullah.
Musab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan
mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji
antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Musab lebih mengutamakan
kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan
kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan
kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi
yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.