PERSOALAN JODOH DAN GADIS
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang
kamu tidak mengetahui tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan
hati, semuanya akan diminta pertanggungjawaban” ( Al Isra' : 36)
Bila mana saja makhluk yang di
namakan manusia itu telah dilahirkan ke dunia, maka tak lama dari itu jualah
manusia telah melanggar dan mengoyak-ngoyakkan janji mereka kepada Penciptanya
walhal, saat sebelum itu mereka telah mengakui bahawa Pencipta itulah yang
berhak ke atasnya. Itulah antara sifat manusia yang telah menjadi dominan pada
awal kelahiran hinggalah hari ini. Manusia terlalu mudah menabur janji tetapi
amat payah untuk memenuhi janji-janjinya. Perlu diingat bahawa janji merupakan
satu aqad (perjanjian/kontrak) yang mempunyai keutamaan yang amat tinggi untuk
dipenuhi sehinggakan ianya juga menjadi satu kewajipan untuk dipenuhi oleh si
pengotanya. Bila mana janji telah dilafazkan maka kewajipan untuk memenuhi
amatlah dituntut. Dan tidak hairanlah jika banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran
dan hadith Baginda SAW yang menerangkan antara sifat orang yang beriman adalah
mereka yang menunaikan amanah (termasuklah janji) yang telah diamanahkan ke
atasnya. Begitu pula sebaliknya telah dijelaskan antara sifat orang yang
munafik di dalam Al-Quran dan hadith ialah mereka yang memungkiri amanah yang
ada pada mereka. Bilamana manusia sanggup dan boleh memungkiri amanah (janji)
yang ditaklifkan oleh Allah ke atas dirinya maka tidak hairanlah lagi manusia
itu pula sanggup dan boleh memungkiri amanahnya terhadap sesama manusia.
Olehitu sebelum melafazkan satu janji maka lihatlah diri dan faktor yang ada.
Dan bila janji telah terkota maka penuhilah janji tersebut dengan seadanya dan
hal ini terkecuali untuk perkara yang bersalahan dengan syara’. Sekian dahulu
sedikit tazkiyatun nafs buat diri ana dan sahabatku Emi. J
Permasalahan alam remaja adalah satu lumrah dan sesiapapun
tidak akan terlepas dari melewatiinya.
Permasalahan remaja saat ini seolah-olah telah menjadi dominan dan di
mana saja kita dapat dengari. Bukan sahaja Miss X yang dinamakan tetapi
siapapun termasuklah mungkin ana sendiri. Itulah antara realiti yang harus kita
hadapi sebagai seorang remaja.
Setelah membaca persoalan tersebut secara berulangkali maka
apa yang ana dapat fahami realiti yang terjadi dan dihadapi oleh Miss X adalah
terlalu sukar dikupas oleh orang lain kerana ianya membabitkan perasaan dan
juga kepentingan (faktor lain) lain yang amat rapat kepadanya. Seperti yang selalu ana jelaskan bahawa perasaan
untuk mencintai seseorang yang berlawanan jantina adalah salah satu elemen
kepada gharizatun nau’ (naluri seksuality) manusia yang telah menjadi fitrah
selain gharizatul baqa’ (survival instinct) dan gharizatut tadayyun (Religious
instinct). Apa yang mejadi masalah kepada manusia saat ini bagaimana cara untuk
memenuhi gharizah ini. Islam sebagai satu tuntunan hidup yang syumul telah
memberikan garis panduan akan cara yang seharusnya dan selayaknya ditempuhi
oleh manusia untuk memenuhi tuntutan gharizah ini agar dapat mengekalkan
keharmonian dan kesejahteraan hidup sebagai manusia. Perkara ini ana tidak akan
jelaskan di sini kerana ana hanya ingin menjawap permasalahan Miss X. Seperkara
lagi yang perlu ana jelaskan di sini bahawa ikatan yang sah sebelum nikah
(perkahwinan) itu hanyalah khitbah (pertunangan). Tetapi ramai di antara kita
yang telah keliru atau silap faham akan pengertian pertunangan dan konsep
pertunangan itu sendiri. Fikiran kita tercelaru sehingga kita tak mampu untuk
membezakan yang mana syara’ dan yang mana uruf (adat). Konsep khitbah dalam
Islam adalah satu ikatan tanda persetujuan/perjanjian/kontrak kedua-dua pihak
(lelaki dan wanita) untuk hidup bersama sebagai suami-isteri (melalui nikah) dengan kesungguhan di suatu
hari kelak. Dari mafhum konsep inilah khitbah itu boleh saja terjadi bila mana
kedua-dua pihak telah sepakat dan setuju untuk hidup bersama (kahwin) di suatu
masa kelak. Ini hanya memerlukan adanya aqad yang pasti daripada kedua-dua
pihak walaupun tanpa pengetahuan daripada wali. (Harus diingat wali untuk
pernikahan adalah wajip). Cuma dari segi uruf( adat) keadaan ini dirasakan
tidak sesuai oleh masyarakat. Tapi itulah hakikatnya. Kekadang kita dibelenggu
oleh adat dan kita kalah kepada adat sedangkan kita melupakan syara’. Bilamana
keadaan yang telah ana jelaskan tadi telah berlaku maka sahlah proses khitbah
tersebut.
Jadi dari sedikit penjelasan ini, kita sendiri telah
memahami bahawa telahpun terjadi ‘pertunangan’ antara Miss x dengan Jejaka
Acheh sekiranya ada aqad yang pasti dari keduanya. Persoalan proses khitbah
juga tidak dapat menghalalkan berlakunya suatu interaksi atau ikhtilaf yang
bebas di antara kedua pasangan yang telah beraqad (bertunang). Kondisinya masih
seperti yang asal cuma adanya satu ikatan persetujuan. Ini pula tidak bermakna
tidak boleh memutuskan hubungan tunang tadi sekiranya berlaku sesuatu yang tak
dapat dijangkakan. Adapun soal penunjukkan atau pemilihan bakal suami, mereka
yang telah bercerai (janda) maka mereka bebas untuk menentukan/memutuskan
menerima atau tidak seseorang calon yang ditunjukkan oleh wali mereka. Sebaliknya
dalam hadith ada menyebutkan pula bagi mereka yang masih gadis boleh mengikuti
apa yang diputuskan oleh wali mereka selagi bersesuaian dengan syara’ tetapi tidak boleh memaksa anaknya untuk memilih
calon yang disukainya. Untuk itu suka ana tampilkan beberapa hadith yang
berkenaan dengan apa yang ana perkatakan tadi.
Bersabda Rasulullah SAW: “ Seorang janda lebih berhak atas
dirinya daripada walinya sedangkan gadis hendaklah diminta izinnya bila dirinya
akan dikahwinkan dan izin perkahwinannya itu cukup dengan diamnya” [Ibnu Abbas]
Juga diriwayatkan oleh Ibnu Abbas (ra) bahawa seorang gadis
datang kepada Rasulullah SAW menceritakan bahawa ayahnya telah mengahwinkannya sedangkan beliau
menolaknya ataupun dipaksa. Maka rasulullah menyuruh gadis tadi memilih
(menerima atau tidak). Untuk itu ana tidak berani pula untuk menyatakan kita
tidak boleh memilih calon suami-isteri kita.
Pemilihan ini amat dianjurkan oleh Islam dan beberapa garis panduan pemilihan
telah diberikan di dalam hadith-hadith SAW. Antaranya;
“Apabila kamu mencintai kawanya, maka
hendaklah ia datang ke rumahnya lalu memberitahu bahawa sesungguhnya kamu
mencintainya kerana Allah” [Ahmad & … dengan status hadith Hasan ]
“Apabila salah seorang kamu
menyenangi saudaranya maka hendaklah diberitahu dia bahawa sesungguhnya kamu
senang kepadanya” [Ahmad & Bukhari dengan status hadith Sahih]
“Jika datang melamar seseorang (yang
mana) baik akhlak dan agamanya maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu berbuat
demikian akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakkan yang luas” [ Tirmizi, Ibnu
Majah &.. dengan status hadith Sahih]
Itulah antara kutipan hadith yang
dapat ana tampilkan sebagai garis panduan pemilihan calon suami-isteri. Adapun
tugas wali tak dapat ana jelaskan di sini. Cuma sedikit petikan dari buku yang
telah ana baca berhubung salah satu tugas wali “Islam mengadakan wali dalam
perkahwinan seseorang anak gadis untuk menjadi penjaga dan bukannyanmenjadi
penghalang”. Tambahnya lagi secara analogi dalam buku yang sama “ Sesiapa yang pandai memasukkan bola dengan
jalan yang wajar tidak akan dihalang. Tetapi jika dilakukan dengan melanggar
peraturan permainan, maka ini yang menjadi persoalan. Permasalahan yang terjadi
dalam kes Miss X ini sebenarnya terjadi disebabkan sedikit ketegasan( atau tak
salah untuk ana katakan keegoan) pihak wali Miss X untuk menerima Jejaka Acheh.
Mungkin pihak wali Miss X ada sebab atau kepentingan tertentu. Hal ini ana tak
berani untuk membuat spekulasi. Dan bukanlah niat ana untuk menyalahkan sesiapa dalam hal ini.
Kesimpulan awal yang ana dapat
berikan, tindakan Jejaka Acheh adalah wajar untuk dan sikap berterus terang ini
juga sedikit sebanyak akan menghilangkan rasa serba salah. Apatah lagi tindakan
ini dilakukan selepas melakukan istikharah. Baik atau buruk hasil daripada
istikharah itu haruslah diterima dengan hati yang terbuka. Persoalannya
sekarang bagi pandangan peribadi ana terletak pada Miss X untuk membuat
keputusan samada masih ingin untuk terus menjalinkan hubungan dengan Jejaka
Acheh atau menerima apa yang telah sedia ada seperti yang dipilih oleh pihak
walinya. Sekiranya Miss X melakukan solat istikharah dan mendapati keputusannya
untuk tetap dengan pilihan walinya maka Miss X harus untuk menerangkan keadaan
ini kepada Jejaka Acheh. Dan di samping itu kedua-dua pihak harus menerima apa
saja keputusan daripada hasil istikharah mereka. Samada baik atau tidak. Persoalan yang berbunyi “apa yang perlu Miss
X lakukan seandainya hasil istikharahnya adalah bukan Jejaka Acheh tetapi
Jejaka Acheh itu sebaliknya. [Miss X adalah jodohnya]”
Dalam hal ini yang berlaku cuma
ketidakjelasan kepada konsep Istikharah. Sebenarnya dalam melakukan istikharah
sepanjang pengetahuan ana, hanya melibatkan salah seorang sahaja atau paling
tidak jika keduanya melakukan istikharah maka tidaklah boleh untuk menyatakan
hasil keputusan yang diputuskan setelah istikharah tersebut kepada sebelah
pihak. Ini kerana ianya akan mempengaruhi secara tidak langsung keputusan yang
dibuat oleh sebelah pihak. Hujah ini ana dapat penjelasan dari Ustaz yang ana
pernah tanya. Tambah beliau lagi, istikharah dilakukan bukanlah bermakna apa
yang kita putuskan itu mesti kita perolehi tetapi 2 kemungkinan akan kita
perolehi iaitu dapat atau tidak. Maka orang yang melakukan istikharah
seharusnya redha dengan apa yang terhasil samada disukai atau tidak. So ana
harap anti sendiri faham akan kedudukan ini. Ini secara tidak langsung dapat
meleraikan persoalan anti. Ana rasa itu saja yang dapat ana jelaskan. Semoga
sedikit sebanyak membantu.