Sayidatina Fatimah r.ha : Penghulu Wanita Syurga
Dia membesar dalam suasana kesusahan.
Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang
seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan
rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan
ayahandanya.
Di sebalik kesibukan itu, dia juga
adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat
seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula
menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah
SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula
dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara
halusnya mengalunkan irama Al Quran.
Di waktu umurnya mencapai 18 tahun,
dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh
kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu
oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang
amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar
Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW
yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam.
Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi
berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya.
Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun
bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu
kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui
ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu,
hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan
anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri.
Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya
dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang
terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan
tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.
Pernah suatu hari, sedang dia tekun
bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya.
Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan
hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar
tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar
Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh
disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas
terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya
Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk
membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di
dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di
sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil
memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid
dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan
terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat
darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan
kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga
menyusah-nyusahkan suaminya.
Dalam pada itu, kemiskinan tidak
menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk
kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup
senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis
melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri
sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina
Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada
janda dan anak yatim' di Madinah.
Namun, pernah suatu hari, Sayidina
Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya.
Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang
kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan
berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf'
sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu,
tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.
"Wahai Fatimah, kalaulah dikala
itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan
jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila
perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang
suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa
seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan
dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan.
Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara,
bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali
k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.
Semasa perang Uhud, Sayidatina
Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama
Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya
mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji
terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi
ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha
yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang
membuatkannya tersenyum.
Dia menangis kerana ayahandanya telah
membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya
menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di
alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan
setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan
Baqi', Madinah.
Begitu sekali wanita yang utama,
agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh
Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan
kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan
kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong
serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan
kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa
sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan
lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada
Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita
yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan
terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri
mereka menderita.