PERJUANGAN YANG PENUH DURI

 

Menemui saudara/iku yang dikasihi fillah,

 

Perjuangan itu memang pahit lebih pahit dari segal kepahitan. Tiada satupun perjuangan demi kalimah Allah yang amat senang melainkan membutuhkan pengorbanan, kesabaran dan ketabahan. Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar untuk memperolehi suatu kejayaan. Bukan sedikit pengorbanan yang harus dilakukan demi suatu perjuangan lilLah. Pelbagai onak dan duri harus dilalui dengan ketabahan dan kecekalan.  Kalau boleh kita andaikan perjuangan demi mardhatillah itu umpama kita berjalan di atas tali yang tersambung di antara dua tebing sungai nescaya kita akan senantiasa berwaspada. Kerana, pabila kita tercenderung ke kanan atau ke kiri makan kita akan terjerumus  ke dalam sungai. Begitu jua andainya kita berjalan sambil leka nescaya kelak pasti kita akan jatuh jua ke dalam  sungai. Apa yang perlu adalah kita menumpukan dengan sepenuh tumpuan akan laluan tali tersebut di samping kita tahu akan selok belok keseimbangan badan dan jua faktor lain termasuklah daya hembusan angin. Semua benda itu harus kita perhatikan dalam analogi tersebut. Begitu jualah dalam perjuangan demi mardhatillah ini. Kita seharusnya berjuang denagn sepenuh komitmen untuk berjuangan. Bukan semata untuk manfaat yang ada tetapi kerana Allah. Itulah matlamat yang paling utama. Bukanlah bermaksud kita meninggalkan kewajipan yang lain tetapi seperti dalam analogi yang ana berikan tadi, semua faktor ini harus dipertimbangkan. Dunia adalah jambatan emas ke akhirat. Akhiratlah yang lebih utama. Ilmu adalah penyuluh kegelapan. Segalanya itu harus disedari.

 

Bukan mudah untuk kita beristiqomah dalam perjuangan kerana banyak benda yang menjadi kekangan kepada kita. Sikap kita kekadang jua turut menjadi kekangan. Didiklah sifat kita dengan tsaqofah Islamiyyah yang boleh melenturkan segala halangan dan cabaran yang ada. Ikatkanlah diri kita dengan tali hukum syara’ yang pasti akan mengawal setiap tindak tanduk kita agar senantiasa bertepatan dengan kehendak Sang pencipta. Buanglah dasar-dasar manfaat dalam melakukan amalan kerna ianya juga bakal menjadi kekangan untuk kita. Pagarilah diri kita dengan pagar ketaqwaan dan keimanan agar kita mampu untuk mempertahankan diri dari ancamana perosak. Bajailah jiwa kita dengan mendekatkan diri kepadaNya. Semoga Allah memberikan bantuanNya kepada kita dalam melalui kehidupan sebagai seorang pejuang InsyaAllah.