Make your own free website on Tripod.com

DIKAU BAK BUNGA DI TAMAN

 

Segala kalungan pujian milik Allah SWT Yang Maha Esa yang telah menjadikan sesuatu itu berpasang-pasangan dan dikurniakan kepada mereka dengan pelbagai kelebihan dan kemuliaan. Dengan yang demikian barangsiapa yang menetapi kehendak penciptannya, maka ia akan memperolehi kemuliaan dan sebaliknya  barangsiapa yang ingkar tetaplah ia berada di dalam kehinaan di sisi Allah SWT di dalam kehidupan dunia dan akhirat.

 

Sahabatku yang dikasihi;

 

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran yang mafhumnya:

 

“Tolong menolonglah kamu di dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di dalam melakukan kekejian dan dosa, dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksanya” [Al Maidah :4]

 

“Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertaqwa dan yang melakukan kebaikan” [An Nahl:128]

 

“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman); Sesungguhnya aku tidak mempersia-siakan amalan orang-orang yang beramal di antara kamu baik lelaki mahupun wanita (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain.” [Ali Imran : 195]

 

“sesungguhnya Allah tidak menganiayai seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebajikan sebesar zarah nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikannya dari sisinya pahala yang besar” [An-Nisaa’ : 40]

 

“Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh  baik lelaki mahupun wanita  sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianayai sedikitpun” [An-Nisaa’ :124]

 

Saudariku yang dirahmati Allah,

 

Alangkah indahnya sebuah taman yang ditumbuhi oleh pepohonan bunga yang mekar menguntum. Alam yang ceria, suasana nyaman terasa, tetapi apabila pepohon itu tidak dipelihara, dibajai dan disiram, kuntum-kuntum bunga pun menjadi layu menantikan saat kegugurannya. Begitulah wanita sekiranya dapat diibaratkan sebagai kuntuman bunga. Ianya amat alah terhadap persekitaran . Jika ia dijagai dengan didikan syariah asuhan sunnah Rasulullah SAW, maka jadilah ia seorang muslimah sejati; bagaikan kuntuman bunga kebanggaan si empunya taman.

 

 Wanita adalah makhluk Allah s.w.t yang istimewa. Tanpa mereka sudah pasti zuriat manusia tidak wujud dan tidak bersambung. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka. Apabila mereka rosak, musnahlah bangsa tersebut. Oleh yang demikian Allah s.w.t telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil lagi ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh si wanita solehah. Wanita mungkin seorang isteri, anak gadis remaja, seorang wanita bujangan, seorang doktor, guru, jurutera dan sebagainya. Hakikatnya mereka tetap sama. Wanita. Samada mereka mahu memperolehi keredhaan Allah s.w.t dan balasan syurga, segala keputusan terletak di tangan mereka. Lantaran itu amatlah penting bagi mereka mengetahui garis- garis yang telah diletakkan oleh Islam demi untak rnenjadi wanita Islam yang menetapi kehendak-kehendak pencipta mereka, Allah S.W.T. Sekian dahulu sedikit tazkiyatun nafs yang ringkas buat renungan bersama. Semoga Kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang berperingatan.